Badan kehakiman perlu berintegriti, kalis rasuah

Wan Mohd Zakri (tengah) bersama Datuk Tengku Farok Hussin (dua dari kanan) dan Ruslan (kanan) pada majlis pelancaran buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Wan Mohd Zakri (tengah) bersama Datuk Tengku Farok Hussin (dua dari kanan) dan Ruslan (kanan) pada majlis pelancaran buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Badan kehakiman perlu memiliki integriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah serta salah guna kuasa.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, jenayah itu boleh menular sekiranya seseorang yang diberikan kuasa untuk menjaga amanah yang diberikan namun tidak memiliki integriti.

"Badan kehakiman dipandang tinggi masyarakat. Jika kita tidak berintegriti, di mana kita mahu sorok muka.

"Bayangkan kita sebagai 'si penghukum di mahkamah' tetapi dilabel sebagai perasuah. Amatlah memalukan. Dengan teknologi sekarang perlakuan begini amat mudah dihidu dan dijadikan topik utama.

"Sebab itulah amat penting menjaga integriti. Jika tidak, agenda nasional yang diperkenalkan kerajaan untuk membangunkan dan membudayakan integriti tidak akan berjaya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu 2022 - 2026 di sini, pada Selasa.

Hadir sama bagi menyempurnakan pelancaran ialah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Ruslan Che Amad.

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu adalah Jabatan Kehakiman Syariah kedua menyiapkan dan melancarkan buku OACP selepas Sarawak.

Antara misi yang dibawakan ialah memastikan pengurusan kehakiman syariah berlandaskan hukum syarak dan undang-undang serta membudayakan amalan integriti yang tinggi serta mewujudkan budaya kerja bebas rasuah.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lapan bidang keutamaan di dalam OACP jabatan berkenaan iaitu kehakiman, penguat kuasaan, perundangan, perolehan, kewangan, sumber manusia, pentadbiran dan tadbir urus.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zakri memberitahu, buku yang mengandungi lapan strategi dan 90 inisiatif itu ditetapkan merangkumi skop kerja harian warga jabatan berkenaan.

"Walaupun sudah ada larangan dalam agama Islam mengenai rasuah, peraturan dan kaedah menerusi buku ini boleh dijadikan panduan lebih spesifik bagi melicinkan lagi pentadbiran khususnya berkaitan integriti.

"Semua warga jabatan ini perlu kekal berintegriti semasa tempoh berkhidmat dan setelah tamat perkhidmatan. Teruskan berpegang dengan integriti untuk hidup lebih bermaruah," ujar beliau.