Rafizi bakal dedah pemimpin politik terlibat skandal LCS

Rafizi ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada Selasa.
Rafizi ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - [KEMASKINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan mendedahkan nama pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwanya di belakang sebuah syarikat yang turut menerima bayaran dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) Khamis ini.

Rafizi turut mendakwa, syarikat yang dinamakan dalam laporan audit forensik LCS sebagai JSD Corporation Pte Ltd itu turut melibatkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

"Muka surat 75 laporan tersebut memperincikan syarikat ini mendapat bayaran sebanyak RM1.36 juta sebagai bayaran khidmat teknikal dalam projek Second Generation Patrol Vessel (SGPV) sedangkan tiada bukti khidmat itu berlaku.

"Hubungan kroni ini bukan sahaja berkait Abdul Latiff tetapi siapa di belakang JSD Corporation, hubung kaitnya dengan tokoh-tokoh UMNO dan Bersatu serta penglibatan mereka dalam pelbagai skandal selama ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Selasa.

Sebelum ini Abdul Latiff dilaporkan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya yang dikaitkan dengan sebuah syarikat palsu, Alizes Marine Ltd.

Dalam pada itu Rafizi menjelaskan, keterlibatan Abdul Latiff dalam perolehan projek LCS sukar dinafikan ekoran beberapa syarikat yang dinamakan dalam laporan audit berkenaan ada kaitan dengannya.

"Jika siasatan dalaman setakat ini hanya menamakan satu syarikat yang ada kaitan dengan beliau, dia boleh buat tuduhan bahawa siasatan terkeliru.

"Namun apabila siasatan menamakan juga syarikat-syarikat lain yang ada kaitan atau individu dikenalpasti sebagai rakan perniagaannya, sudah tentu bukti-bukti ini mengukuhkan penemuan siasatan bahawa beliau mendapat laba secara salah dari perolehan LCS ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya menunggu maklum balas dari Abdul Latiff untuk menafikan yang dia tiada kaitan dengan mana-mana individu di belakang JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan dalam siasatan," ujarnya.