'Khairuddin tiada hak beri cadangan' - Mohd Amar

Mohd Amar (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 Kerajaan Negeri Kelantan pada Isnin.
Mohd Amar (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 Kerajaan Negeri Kelantan pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tiada hak memberi sebarang arahan atau cadangan kepada penyokong Pas untuk mengundi BN.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Khairuddin tidak layak mengajar ahli Pas membuat pilihan.

"Bukan kerja dia (Khairuddin) untuk minta penyokong Pas undi BN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 Kerajaan Negeri Kelantan di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Khairuddin, beliau memberitahu, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas bukan lagi ahli parti itu.

Jika dia ahli, kita mungkin boleh bincang untuk diambil tindakan disiplin.

"Saya pun percaya, penyokong Pas bijak menilai dan tidak mendengar pandangan individu daripada luar parti. Mereka patuh dan dengar arahan," katanya.

Khairuddin pada Ahad menyarankan ahli dan penyokong Pas mengundi calon BN untuk kemenangan tetapi tidak perlu keluar Pas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ketika berucap pada Program Bersama Veteran UMNO di pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Amar memberitahu, seramai 565 pelajar menerima anugerah kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Setiap seorang menerima sumbangan RM500. Seramai 14,000 pelajar menerima anugerah sejak 2006 dengan peruntukan sumbangan RM7.22 juta.

"Program ini akan diteruskan setiap tahun sebagai dorongan kepada pelajar lain untuk lebih cemerlang dalam pelajaran" katanya.