'Kita akui Kelantan ada masalah air' - Mohd Amar

Mohd Amar (dua dari kiri) mendengar taklimat berkaitan peralatan yang digunakan kakitangan Jabatan Perhutanan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.
Mohd Amar (dua dari kiri) mendengar taklimat berkaitan peralatan yang digunakan kakitangan Jabatan Perhutanan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - "Kita akui Kelantan ada masalah air dan tidak pernah nafikan perkara itu," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun beliau mengingatkan masyarakat bahawa kerajaan negeri kini sedang dalam proses menukar 4,000 kilometer paip air di seluruh negeri.

Beliau memberitahu, pelaksanaan itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan.

"Perlu diingatkan kita sedang berusaha mengatasi masalah ini. Ia belum selesai 100 peratus tetapi sudah menunjukkan perkembangan yang baik.

"Ada kawasan yang dahulu tiada air kini sudah menerima bekalan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Yusoff menerima kritikan kerana didakwa menggunakan pili bomba untuk menyalurkan bekalan kepada penduduk yang memerlukan.

Bagaimanapun Siti Zailah menafikan beliau mencuri air daripada pili bomba, sebaliknya bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Amar memberitahu, pemasangan atau penggantian paip akan mengambil masa lama untuk siap sepenuhnya selain memerlukan kewangan yang cukup.

"Kajian terkini kita memerlukan RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi kita juga memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan," katanya.

Ketika ditanya mengenai cadangan 'poster boy' di Kelantan, Mohd Amar yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, perkara itu tidak penting tetapi paling utama ialah kemenangan Pas.

"Kelantan kini sedang memberi fokus supaya dapat mempertahankan kemenangan Pas di negeri ini. Poster boy itu cerita lain, yang penting menang dulu," katanya.