Mohd Isam umum tak pertahan kerusi DUN Gemencheh

Mohd Isam ketika berucap pada Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.
Mohd Isam ketika berucap pada Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Pengumuman itu dibuat semasa Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mahu memberi fokus kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Tampin yang dipikulnya ketika ini.

"Saya tidak akan bertanding di peringkat DUN. Maknanya Gemencheh kosong, saya nak fokus sebagai Ahli Parlimen Tampin.

"Jika datuk speaker berminat bolehlah. Tapi sebelum itu kena meminang dahulu. Tapi nak meminang ini bukan ibarat nak meminang Puteri Gunung Ledang, mudah je... syarat dia pertamanya mestilah masuk UMNO," katanya secara berseloroh kepada Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar ketika ucapan penangguhan.

Beliau juga memohon maaf kepada semua pihak dan tidak menolak sekiranya pada penggal akan datang akan kembali sebagai ADUN jika masih diperlukan.

Sementara itu, Mohd Isam yakin Perikatan Nasional (PN) akan tewas di Negeri Sembilan kerana ia terbukti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu apabila semua kerusi Parlimen disapu bersih oleh Kerajaan Perpaduan.

"Kita harap kerajaan pada penggal akan datang akan lebih fokus membantu masyarakat terutama di daerah yang ketinggalan di Tampin, Jempol dan Jelebu.

"Kita berlaku adil kepada semua daerah. Teruskan bantu masyarakat dan jadikan Negeri Sembilan sebagai negeri maju pada masa akan datang.

"Doa saya pada rakan-rakan yang akan berjuang di PRN nanti agar boleh menang," katanya.

Adnan Abu Hassan ketika berucap Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.
Adnan Abu Hassan ketika berucap Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.

Mohd Isam berkhidmat sebagai ADUN Gemencheh sejak 2013 dan pada PRU15 kali pertama diberi kepercayaan bertanding sebagai Ahli Parlimen Tampin mewakili BN.

Beliau berjaya mendapat 23,283 undi dengan menewaskan tiga calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Faiz Fadzil (22,007 undi); calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Halim Abu Bakar (14,962 undj) diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Zamani Ibrahim (781) undi.

Dalam pada itu, ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah turut memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Beliau bangun mencelah dan memohon maaf sambil memberitahu itu kemungkinan menjadi ucapan terakhirnya di sidang DUN.

"Dalam proses itu mungkin ada penyampaian dan kata-kata, gerak mata, pergerakan saya yang

mungkin menyakitkan.

"Oleh kerana itu, saya mohon maaf dan ini mungkin ucapan terakhir saya sebagai ADUN Negeri Sembilan, saya ucap terima kasih pada semua pihak," katanya.

Adnan daripada BN telah berkhidmat sebagai ADUN Senaling sejak 2018.