Niat bantu keluarga lebur, duit lesap ditipu scammer

Mia melihat laporan polis yang dibuatnya pada Sabtu lepas.
Mia melihat laporan polis yang dibuatnya pada Sabtu lepas.
A
A
A

JEMPOL - Niatnya ingin membantu menambah pendapatan keluarga namun lebur apabila mengalami kerugian RM5,000 selepas didakwa ditipu scammer yang menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Suri rumah yang ingin dikenali sebagai Mia, 27 dari Bahau berkata, tidak sangka ditipu dan keadaan itu menyebabkannya tertekan.

"Detik hitam itu bermula pada 25 Oktober lepas, saya melayari aplikasi Telegram dan telah membuka satu pautan kumpulan e-dagang yang menawarkan pekerjaan dengan hanya melaksanakan tugasan yang diberi seterusnya menerima mesej daripada individu bernama Nana S.

"Dia kemudiannya meminta saya memasukkan wang RM100 sebelum diarahkan melengkapkan beberapa tugasan selain menawarkan bayaran berjumlah RM10,000," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas Mia, untuk mendapat bayaran tersebut dia perlu memasukkan wang ke dalam akaun yang berbeza milik beberapa individu secara berperingkat bermula 25 hingga 28 Oktober lalu iaitu RM500, RM500, RM1,000 dan terakhir RM3,000 dengan jumlah keseluruhan RM5,000.

"Kesemua transaksi bayaran itu juga didakwa digunakan untuk membeli data bidaan barang dalam satu laman web e-dagang.

"Sepanjang tempoh urusan berkenaan saya diminta untuk membuat satu akaun di sebuah laman web dan menerusi laman itu saya boleh melihat jumlah bayaran dan komisen yang ada selepas selesai membuat tugasan yang diarahkan.

"Apabila saya minta untuk keluarkan wang berkenaan, mereka mendesak saya membuat pembayaran lagi RM5,000 sekali gus bakal memperolehi bayaran ataupun keuntungan berjumlah RM17,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, mereka mendakwa itu merupakan bayaran dan tugasan terakhir sebelum dibenarkan untuk mengeluarkan kesemua wang berkenaan.

"Tetapi saya mulai curiga dan sedar ia adalah satu penipuan. Saya telah buat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Seri Jempol pada Sabtu lepas untuk tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

"Justeru, saya berharap orang ramai tidak mudah terperangkap dengan janji-janji yang ditaburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti ini bagi mengelakkan mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.