Wanita maut, suami dan anak cedera kereta hilang kawalan

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala suami dan anak lelakinya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 12 Jalan Kluang-Batu Pahat, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, kereta dinaiki semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sri Gading menghala ke bandar Batu Pahat.

“Ketika tiba di KM12, kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Akibat kejadian berkenaan, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, suaminya mengalami cedera parah manakala anak mereka berusia empat tahun mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, untuk rawatan lanjut,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kerosakan kereta berkenaan disebabkan perlanggaran tiang lampu jalan bukan kerana dirempuh kenderaan lain apabila memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap wanita berkenaan dilakukan hari ini (Isnin) bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Nur Eddy Paiman berkata, ketiga-tiga mangsa dilaporkan tersepit dalam kereta yang dinaiki hingga menyebabkan seorang meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Ujas beliau, anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu melalui talian MERS 999 pada jam 9.19 malam pada Ahad.

“Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram beserta satu jentera bergegas ke lokasi dan operasi menyelamat ditamatkan pada jam 10.50 malam," katanya.