Wanita maut kereta terbabas masuk longkang

Seorang wanita maut selepas terbabit dalam nahas di Tapah pada Ahad. (Kanan: Kereta dinaiki lima sekeluarga rosak selepas terbabit dalam nahas yang mengakibatkan seorang wanita maut di Tapah.) - Foto ihsan pembaca
Seorang wanita maut selepas terbabit dalam nahas di Tapah pada Ahad. (Kanan: Kereta dinaiki lima sekeluarga rosak selepas terbabit dalam nahas yang mengakibatkan seorang wanita maut di Tapah.) - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TAPAH - Seorang wanita maut dalam nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 349.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Ahad.

Kejadian sekitar jam 5 petang itu mengorbankan mangsa, Roaini Tan Jalil, 59, manakala suaminya berusia 57 tahun serta anak lelaki dan perempuan mangsa berusia 21 dan 34 tahun parah.

Kejadian itu turut mengakibatkan cucu perempuannya berusia lima tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, laporan awal kemalangan diterima melibatkan enam mangsa dari dua kenderaan jenis Proton Saga Aeroback dan Perodua Axia.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan.

"Kereta terbabit telah melanggar bahagian tepi kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga di lorong kiri sebelum terbabas," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.