[VIDEO] 'Kami terpedaya tawaran gaji lumayan'

Empat daripada tujuh mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang selamat tiba di negara ini pada Sabtu.
Empat daripada tujuh mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang selamat tiba di negara ini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tujuh anak Johor yang terkandas di Kemboja akibat ditipu sindiket pekerjaan sejak beberapa bulan lalu, mengakui terpedaya dengan tawaran gaji yang lumayan.

Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Ahmad, 34, berkata, dia menerima tawaran kerja di Kemboja sebagai pelayan sebuah kasino daripada seorang lelaki tempatan dengan bayaran gaji sebanyak AS$1,100 (RM5,195) sebulan.

Menurutnya, setibanya di Kemboja dia mendapati pekerjaan itu bukanlah sebagaimana yang digambarkan.

"Sebaik tiba di Phnom Penh, kami dihantar ke sebuah kampung dan ditawarkan pekerjaan sebagai 'scammer'.

"Selepas itu, kami diarahkan untuk menandatangani kontrak dan sekiranya tidak mahu berbuat demikian, kami perlu bayar RM15,000 untuk pulang ke Malaysia.

"Kami terpaksa tandatangan kontrak itu untuk kerja selama enam bulan... tapi pada bulan pertama dan kedua gaji kami hanya dibayar separuh iaitu AS$500 (RM2,361), bagi bulan ketiga dan keempat kami langsung tidak dibayar,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Ahad.

Sebelum itu, Ahmad bersama enam lagi mangsa selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Sabtu.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Zaleha, 30, berkata, dia bersama tunangnya sepakat menerima tawaran pekerjaan itu untuk mengumpul wang bagi majlis perkahwinan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kami ditawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan oleh seorang kenalan tunang saya dan kami menerimanya untuk mengumpul belanja kahwin.

“Saya juga tidak beritahu kepada keluarga dan hanya memaklumkannya setelah tiba di Kemboja. Setelah beberapa bulan terkandas, saya bersyukur akhirnya berjaya melepaskan diri dan pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan mangsa termasuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Insya-ALLAH, kita akan bantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai kerana ketika ini dianggarkan terdapat sehingga 19,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor di negeri ini.

“Kami memang perlukan anak-anak muda dari negeri ini yang mahukan pekerjaan dan kita akan bantu dapatkannya termasuklah mereka yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan di luar negara,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video dalam aplikasi TikTok yang bertajuk 'Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan' membabitkan tujuh individu mendakwa anak kelahiran Johor ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja.

Dalam video berdurasi 58 saat itu, individu yang mewakili kumpulan berkenaan mendakwa terkandas, dipaksa serta diugut untuk bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kerajaan Johor untuk membantu mereka pulang ke tanah air.