Kontrak 'bocor' tawaran gaji RM132,000 palsu

Kenyataan di laman Facebook Selangor FC.
Kenyataan di laman Facebook Selangor FC.
A
A
A

SELANGOR FC menafikan hantaran di laman sebuah Facebook, Harimau Selatan X mengenai kontrak tawaran gaji yang didakwa berjumlah AS$30,000 (RM132,000) sebulan kepada pemain import pasukan tersebut.

Menurut satu kenyataan rasmi Selangor FC, hantaran tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap sebagai satu fitnah.

"Kelab Bola Sepak Selangor mengambil maklum berkenaan satu kandungan yang disebarkan di media sosial dan kemudiannya dilaporkan oleh agensi media lain, yang mengandungi dakwaan mengenai gaji seseorang individu di dalam Kelab.

"Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.

"Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej Kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama," kata kenyataan itu.

Laman Facebook Harimau Selatan X mendakwa seorang pemain import Selangor menerima gaji RM132,000 sebulan selain bayaran yuran tandatangan sebanyak RM132,000 dan juga yuran kepada agensi pada jumlah yang sama.

Selain itu, surat tawaran tersebut turut menyatakan pemain import tersebut akan menerima imbuhan RM132,000 sekiranya berjaya membantu Selangor FC menjuarai Liga Super, juara Piala Malaysia dan juara Piala FA.

Pemain itu turut ditawarkan RM1,000 bagi kemenangan di tempat sendiri selain elaun rumah sebanyak RM2,500 sebulan.

Dalam pada itu, Selangor FC juga akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada pihak tersebut.

"Kelab juga ingin memberi jaminan kepada penyokong bahawa kelab kini berada atas landasan yang baik dalam pelbagai aspek dan akan kekal komited terhadap nilai Selangor FC yang berteraskan integriti, ketelusan dan keadilan dalam membina sebuah kelab bola sepak yang kukuh dan berjaya, di atas mahupun di luar padang.

"Kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini sementara menunggu prosiding undang-undang," kata kenyataan itu.