Polis Johor sedia bantu bawa balik mangsa sindiket tipu kerja

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Kamarul Zaman
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sedia membantu kerajaan negeri dalam usaha membawa pulang tujuh rakyat Johor yang mendakwa ditipu sindiket pekerjaan dan kini terkandas di Kemboja.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan menyiasat isu itu dan memberi bantuan sepenuhnya bagi memastikan usaha berkenaan berjaya.

"Pihak polis akan membantu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Rabu, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dalam kenyataan berkata, kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dalam usaha membawa pulang tujuh individu itu.

Jelas Mohd Hairi, perkara itu juga akan dirujuk dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana membabitkan elemen jenayah penipuan sindiket pekerjaan terancang berkenaan.

Ketika ini, tular satu video dalam aplikasi TikTok yang bertajuk 'Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan' membabitkan tujuh individu mendakwa anak kelahiran Johor ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja.

Dalam video berdurasi 58 saat itu, individu yang mewakili kumpulan berkenaan mendakwa terkandas, dipaksa serta diugut untuk bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kerajaan Johor untuk membantu mereka pulang ke Tanah Air.

Dalam video itu turut menyatakan mereka keluar dari lokasi terbabit tanpa membawa sebarang dokumen dan wang.

Artikel Berkaitan: