'Tukar ahli Parlimen, kerusi lukakan hati akar umbi'

Tian Chua dan tangkap layar beliau di Facebook.
Tian Chua dan tangkap layar beliau di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menukar ahli Parlimen dan kerusi bertanding seperti permainan kad bukan sahaja melukakan akar umbi tetapi turut mengecewakan pengundi yang setia menyokong parti.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan parti itu perlu berjaga-jaga agar tidak kehilangan kedudukan ketika mengatur gerakan menyerang parti lawan.

"Salah satu kriteria teras untuk memilih pencalonan ialah keupayaan untuk membina hubungan yang kukuh dengan kawasan pilihan raya.

"Ketakutan terbesar saya ialah kualiti ini secara perlahan-lahan hilang di kalangan penggubal undang-undang kita (ahli Parlimen)," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tian Chua berpandangan senarai calon sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti susulan pengumuman senarai calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Jumaat.

Menurutnya, selepas pengumuman itu, terdapat ramai pihak yang berasa kecewa dengan beberapa pemilihan calon yang bertanding pada PRU15.

"Memandangkan saya pada masa ini bukan sebahagian daripada kepimpinan parti, maka saya tidak mengetahui proses terperinci pemilihan calon.

"Sememangnya sebarang bentuk pemilihan tidak akan memuaskan hati semua orang dan ia boleh difahami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ia adalah sesuatu yang diterima di mana tidak akan ada sistem yang sempurna untuk pemilihan calon.

"Namun parti itu mesti berhati-hati dan tidak boleh mengabaikan reaksi dan sentimen pengundi terutama pada musim pilihan raya," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua calon bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk bersuara di kawasan mereka dan mewakili kepentingan pengundi.

"Jangan layan pengundi di kawasan itu sebagai tiket ke Parlimen (atau berkuasa).

"Ahli Parlimen bukan golongan istimewa, tetapi berkhidmat untuk rakyat. Sebagai ahli Parlimen, kita hidup di kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita," katanya.