Seni koir bawa mesej perpaduan

Seni dan budaya sebagai platform perpaduan.
Seni dan budaya sebagai platform perpaduan.
A
A
A

Agenda perpaduan boleh datang dalam pelbagai bentuk, pentas dan acara seperti sekolah, hiburan, sukan, sastera dan kegiatan komuniti. Namun, apabila berbincang mengenai isu ini, persembahan koir adalah antara pentas perpaduan yang sangat unik dan secara tersirat telah mencerminkan makna perpaduan itu sendiri.

Berdasarkan laporan Guinness World Records, koir terbesar telah dianjurkan oleh The Art of Living (India), di Perungalathur, Chennai, India, pada 30 Januari 2011, membabitkan 121,440 penyanyi yang menyanyi secara serentak selama lebih 5 minit.

Pasukan Koir Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1991 merupakan pasukan koir bertaraf profesional yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, pertubuhan bukan kerajaan serta pegawai daripada sektor awam dan swasta.

Selain memperjuangkan lagu-lagu rakyat dan tradisional Malaysia, lagu-lagu klasikal, kontemporari dan pop dalam pelbagai bahasa seperti Mandarin, Tamil, Inggeris, lain-lain bahasa turut dipersembahkan.

Persembahan seni koir merupakan satu wadah hiburan kreatif, bernilai, dan menjadi salah satu medium interaksi sosial dalam komuniti. Lagu-lagu karya terbaik susunan komposer tempatan yang turut memperjuang nilai budaya pelbagai bangsa ini perlu terus dipelihara agar ia tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Inilah warisan dan legasi yang bakal kita pertontonkan kepada anak cucu pada masa hadapan.

Secara asasnya, persembahan seni koir itu mencakupi nilai-nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran. Koir tidak dapat dipersembahkan tanpa paduan suara daripada setiap ahli pasukan.

Keharmonian persembahan koir mengikut tempo pula merupakan disiplin yang sangat kritikal dalam memastikan penyampaian lagu tersebut lunak didengar penonton. Pemilihan lagu-lagu yang bersesuaian mengikut tema pula penting dalam usaha menyampaikan sesuatu mesej kepada pendengar.

Bait-bait lirik yang dipersembahkan dengan penuh harmoni dan diiringi susunan muzik yang baik pasti meninggalkan impak yang positif bukan sahaja dalam kalangan ahli pasukan malahan kepada penonton yang mendengarnya.

Artikel Berkaitan:

“Muzik merupakan satu seni yang mahal dan bernilai,” kata penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

SYAFINAZ
SYAFINAZ

Beliau yang juga vokal master bagi Koir Kebangsaan Malaysia dan Kumpulan Genius Seni Koir menyifatkan, koir adalah cabang seni yang dapat memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanahair.

Kreativiti dalam persembahan koir sangat fleksibel di mana penyampaian boleh dibuat secara solo dan diikuti nyanyian berkumpulan mahupun saling berbalas nyanyian dalam kumpulan kecil itu.

Jenis-jenis suara yang biasa ada dalam setiap persembahan koir termasuklah soprano, alto, teno dan bass. Kepelbagaian paduan suara inilah yang menghasilkan runut bunyi yang harmoni dan sedap didengar oleh halwa telinga. Koir boleh dipersembahkan sama ada bersama iringan muzik ataupun hanya berkonsepkan acapella.

Medium penyatuan

Keupayaan pentas koir untuk diangkat sebagai salah satu medium penyatuan bangsa memang tidak dapat dinafikan lagi. Sebagai contoh, ahli yang terdiri daripada kaum yang berbeza perlu dipimpin oleh seorang ketua iaitu konduktor.

Paduan suara yang harmoni dalam persembahan koir yang disertai pelbagai kaum.
Paduan suara yang harmoni dalam persembahan koir yang disertai pelbagai kaum.

Setiap ahli pula memainkan peranan yang berbeza dalam lontaran suara berdasarkan kategori soprano, alto, teno mahupun bass. Kunci kejayaan persembahan koir adalah pada nilai penyatupaduan setiap ahli pasukan tersebut.

Memandangkan seni koir ini berpotensi untuk dijadikan tapak integrasi dan mengukuhkan identiti sesuatu budaya bangsa dalam sesebuah negara, penganjuran Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Tahun 2022 oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui program Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang diilhamkan sendiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dilihat sangat bertepatan.

No Image Caption

Program yang bertujuan menyemarakkan lagi semangat perpaduan ini menyasarkan penyertaan kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, agensi awam mahupun swasta.

Penggunaan bahasa kebangsaan merupakan salah satu syarat pertandingan untuk menyemai rasa cintakan bahasa kita. Inisiatif ini membuka ruang baru bagi meneroka tapak jalinan perpaduan dalam masyarakat yang menjadi tunjang keharmonian dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

No Image Caption

Justeru, penyertaan pelbagai lapisan Keluarga Malaysia dalam program seperti ini amat digalakkan kerana ia boleh dijadikan medium untuk kita sama-sama berhibur di samping mempelajari seni, budaya, dan bahasa yang terdapat dalam negara kita yang akhirnya membawa kepada satu titik persamaan untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Penganjuran program seperti ini wajar diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam memastikan agenda perpaduan negara dapat direalisasikan.