Hampir 10,000 lepasan SPM, STPM mohon ILKKM tahun ini

Noor Azmi menyantuni penerima anugerah pencapaian cemerlang akademik (dari kanan) Fauziah Harron, Suhailah Subhi dan Zainab Jumaat.
Noor Azmi menyantuni penerima anugerah pencapaian cemerlang akademik (dari kanan) Fauziah Harron, Suhailah Subhi dan Zainab Jumaat.
A
A
A

IPOH - Permohonan melanjutkan pengajian di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pada tahun ini sahaja, hampir 10,000 permohonan telah diterima bagi menyertai program latihan separa perubatan dan program lanjutan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 2,788 permohonan bagi peringkat sijil dan diploma manakala 6,683 permohonan lagi bagi sijil pos basik dan diploma lanjutan.

"Kini, semakin ramai pelajar lepasan SPM dan STPM yang memohon melanjutkan pengajian ke ILKKM. Ini membuktikan institut ini adalah pilihan yang setanding dengan institusi lain yang turut menyediakan program latihan anggota sains kesihatan.

"Peluang untuk mengikuti kursus peringkat lanjutan pula tidak terhad kepada anggota kesihatan kementerian sahaja, malah dibuka kepada anggota dari sektor swasta dan badan berkanun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2022 ILKKM di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Noor Azmi berkata, sehingga kini, terdapat 22 program latihan separa perubatan dan diploma lanjutan di ILKKM telah mendapat kelulusan akreditasi.

Katanya, institut itu kini menyasarkan peningkatan peratus pencapaian paramedik dengan kepakaran dan subkepakaran dalam bidang kebidanan, gerontologi, kesihatan awam, perioperatif, kawalan infeksi dan perawatan rapi.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh lima tahun ini, ILKKM berjaya melahirkan 16,107 graduan. Adanya graduan-graduan ini telah menyumbang kepada keperluan tenaga manusia kesihatan yang terlatih dan kompeten bagi menyokong sistem penyampaian kesihatan negara," katanya.

Istiadat Konvokesyen 2022 kali ini menyaksikan seramai 8,742 graduan daripada pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara.

Jumlah besar itu berikutan penangguhan konvokesyen pada tahun 2020 dan 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa ketika itu.

Mereka terdiri pelatih ambilan Januari dan Julai 2017 serta Januari 2018 bagi program separa perubatan; pelatih ambilan Januari dan Julai 2019 bagi program peningkatan secara lantikan (PSL) dan pelatih ambilan September 2018, Mac dan Mei 2019 bagi program lanjutan.