'Insya-ALLAH, esok hari terakhir saya ke mahkamah'

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan kepercayaan penuh kepada institusi kehakiman negara berhubung keputusan empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta yang dikaitkan dengannya.

Menurut beliau, kebenaran akan ditegakkan selepas lebih empat bulan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi itu.

"Esok akan jadi hari penentu untuk kes saya. Insya-ALLAH, esok hari terakhir saya ke mahkamah. Empat bulan lebih, saya naik turun mahkamah, saya lawan sampai habis.

"Kalau boleh, memang nak habiskan awal lagi. Sepatutnya, kes pendakwaan habis bulan tujuh. Saya tahu kebenaran akan ditegakkan.

"Habis awal, boleh terus fokus berkhidmat untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dan menetapkan 28 Oktober untuk keputusan sama ada Syed Saddiq dibebaskan atau dipanggil membela diri.

Syed Saddiq, 29, berdepan empat tuduhan, yang pertama didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Ahli Parlimen Muar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, di antara 8 hingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Beliau juga menegaskan telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang kes tersebut.

"Tak ada nak minta tangguh-tangguh. Tak ada nak ambik MC. 100 peratus hadir ke mahkamah.

"Saya berharap yang terbaik. Yang akan datang bersolidariti, kita jumpa pagi. Doakan saya," katanya.