Nasib Syed Saddiq diketahui esok

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas lebih setahun dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu subahat, pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, nasib penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri akan diketahui di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid akan memutuskan perkara sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau sebaliknya.

Dalam kes berkenaan, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam, Gobind Singh Deo mewakili Syed Saddiq.

Mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak eksibit kes dan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Syed Saddiq akan diperintah untuk membela diri.

Namun, jika keadaan sebaliknya, beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Perbicaraan kes bermula pada 21 Jun lalu dengan ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62 ,dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, 69, memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan.

Saksi lain yang dipanggil ialah saksi pendakwaan ke-13 (SP-13), bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.

Artikel Berkaitan:

Tiga bulan kemudian iaitu pada 27 September, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil 30 saksi.

Dalam prosiding terdahulu, pasukan pembelaan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti untuk menyokong pertuduhan terhadap anak guamnya.

Ketika prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan, Gobind Singh Deo menghujahkan bahawa Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tidak menerima walau satu sen daripada pengeluaran wang akaun rasmi sayap parti tersebut.

Sebaliknya, peguam itu berkata, wang tersebut dibelanjakan untuk program Armada sekali gus tidak melanggar perlembagaan parti berkenaan.

Katanya, SP-13 tidak melakukan kesalahan apabila mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi CIMB Armada, maka Syed Saddiq tidak boleh dikatakan melakukan kesalahan bersubahat.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berkata, sehingga ke saat ini, pihak pembelaan gagal mematahkan kes pendakwaan dan keterangan saksi-saksi kekal kukuh bagi membuktikan kesalahan tersebut.

Beliau menegaskan, pendakwaan tidak perlu membuktikan tertuduh melakukan kesalahan pecah amanah jenayah kerana itu bukan elemen pertuduhan.

Katanya, pendakwaan hanya perlu membuktikan tindakan tertuduh mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta itu yang termasuk bawah kesalahan bersubahat.

Wan Shaharuddin berkata, mereka hanya perlu menunjukkan setiap tindakan Rafiq Hakim adalah disebabkan arahan yang diberikan oleh tertuduh.

Beliau berkata, Syed Saddiq telah mengarahkan SP-13 itu supaya memindahkan kutipan derma RM1.12 juta daripada akaun Maybank dan CIMB Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun Maybank.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.