Nak 'mengembung' pun sudah tidak mampu

No Image Caption
A
A
A

JIKA dahulu, ikan kembung sinonim sebagai lauk golongan marhaen kerana harganya murah, kurang RM10 sekilogram.

Orang kaya pula dikatakan lebih gemar ikan gred A seperti tenggiri, jenahak, ikan merah, kerapu dan lain-lain yang lebih mahal berkali ganda berbanding ikan kembung.

Malah, ada juga daripada mereka menjadikan ikan kembung atau ikan termenung sebagai makanan kucing peliharaan.

Tetapi hari ini, harga ikan kembung sudah dianggap ‘kayangan’, mencecah RM23 sekilogram berbanding RM13 hingga RM17 sekilogram awal tahun ini.

Walaupun kekurangan bekalan ikan ketara susulan fasa peralihan Monsun Timur Laut menjadi punca kenaikan harga bahan mentah itu, namun kisah ikan kembung ini satu contoh beban yang terpaksa ditelan rakyat.

Nampaknya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup makin tinggi terus menghimpit rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Lebih memeritkan, keputusan Bank Negara (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei dan Julai lepas masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus, seterusnya pada bulan lepas sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus turut memberi tekanan berganda terhadap peminjam.

Lebih membimbangkan apabila baru-baru ini, beberapa firma penyelidikan termasuk MIDF Research meramalkan BNM akan menaikkan OPR buat kali keempat tahun ini sebanyak 25 mata asas lagi pada November ini berikutan Indeks Harta Pengguna (IHP) teras yang kukuh pada September lepas.

Artikel Berkaitan:

Ironinya, jika harga barangan di pasaran mengalami kenaikan dan tidak stabil, perbelanjaan terpaksa ditanggung melebihi gaji bulanan yang diperoleh.

Jika gaji bulanan pun tidak cukup kerana peningkatan kos sara hidup, bagaimana hendak menyimpan untuk kecemasan dan masa depan?

Menurut Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2021, jumlah rakyat Malaysia yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyimpan wang pada setiap bulan meningkat dua mata peratusan pada tahun 2021 kepada 21 peratus berbanding 19 peratus pada tahun 2020.

Sebanyak 21 peratus daripada rakyat Malaysia memberitahu bahawa mereka tidak dapat menyimpan satu sen pun pada setiap bulan, meningkat daripada 19 peratus responden pada tahun 2020.

Mereka yang dapat menyimpan kurang daripada RM500 atau tidak dapat membuat sebarang simpanan ialah sebanyak 56 peratus pada 2021 berbanding 49 peratus pada 2020.

Mereka yang dapat menyimpan RM1,500 atau lebih pada setiap bulan ialah sebanyak 15 peratus berbanding 20 peratus pada 2020.

Pastinya kesan pandemik ditambah peningkatan kos hidup kini mengakibatkan jumlah yang tidak mampu menabung lebih ramai.

Selain ubah gaya hidup, kenaikan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa menyebabkan rakyat Malaysia mencari kaedah tambahan untuk mengurangkan tekanan kewangan, dengan 66 peratus daripada kalangan pekerja berpengetahuan mempunyai sumber pendapatan kedua.

Menurut Laporan Kerja Jarak Jauh 2022 yang mengambil maklumat lebih 1,000 pekerja berpengetahuan, golongan Gen Z dan Milenial berusia 18 hingga 35 tahun adalah peneraju trend ini, dengan 49 peratus yang berusia 14 hingga 24 tahun dan 42 peratus berusia antara 25 hingga 34 tahun mempunyai dua pekerjaan atau menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan sebelum ini perlu diselesaikan tanpa sebarang retorik oleh kerajaan baharu nanti.

Malaysia mengundi pada 19 November depan, jadi kepada 21,173,638 pengundi berdaftar termasuk 10.6 juta pengundi muda sudah tiba masanya gunakanlah kuasa anda menentukan kerajaan yang terbaik.

Kepada parti politik pula, tak perlulah menjanjikan bulan dan bintang jika isu asas pun tidak mampu diselesaikan.

* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Sinar Harian.