Tidak melenting jika tak terpilih jadi calon - Annuar Musa

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memberitahu beliau tidak akan melenting atau marah jika tidak dipilih sebagai calon Pas bagi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Beliau berkata, sebagai ahli parti, semua pihak perlu reda kerana hak bertanding bukan atas individu dan tidak menjadikannya sebagai matlamat.

"Saya dalam UMNO sudah lapan kali bertanding tetapi PRU15 tidak tercalon, saya tidak melenting dan marah.

"Ia kerana matlamat berjuang dalam parti bukan untuk menjadi calon. Kalau parti memilih dan ditakdirkan begitu, reda dan pikul tanggungjawab.

"Jika tidak tercalon perjuangan tetap diteruskan," katanya ketika sidang media Rumah Terbuka Aidilfitri MN di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sekali lagi menegaskan beliau tidak akan merayu untuk kembali kepada UMNO.

Ini kerana beliau mendakwa, UMNO telah rosak secara menyeluruh daripada asas perjuangan.

"Takkan merayu kembali kepada UMNO. Jadi, pilihan yang ada, parti satu lagi yang menerajui MN iaitu Pas.

"Sementara MN, NGO menjunjung piagam yang sama tetapi melalui medan politik kepartian, saya memilih untuk menjadi ahli Pas," ujarnya.