Hantar surat bantahan ke Wisma Putra, Konsulat Singapura

Pandak (dua dari kiri) pada sidang akhbar bersama nelayan di Kampung Pendas Laut pada Selasa.
Pandak (dua dari kiri) pada sidang akhbar bersama nelayan di Kampung Pendas Laut pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad akan menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung tindakan pihak berkuasa Singapura yang didakwa menghalau 10 nelayan tempatan yang berada dalam perairan negara, petang Isnin.

Katanya, surat bantahan itu penting sebagai pemakluman kepada Kementerian Luar Negeri terhadap isu dihadapi kira-kira 400 nelayan di kawasan Johor Selatan di Iskandar Puteri yang didakwa berdepan provokasi daripada pihak berkuasa negara jiran berkenaan.

"Isu provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap nelayan di kawasan Johor Selatan di Iskandar Puteri bukan perkara baharu, sebaliknya didakwa sudah berlarutan lima tahun lalu.

"Kesabaran nelayan memuncak apabila berlaku insiden pada Ahad lalu sekali gus melukakan hati mereka kerana dilemparkan kata-kata kesat yang sepatutnya tidak dituturkan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Menurut Pandak, surat bantahan yang siap pada Selasa akan turut dihantar ke Konsulat Singapura di Johor Bahru pada Khamis.

"Saya juga sudah memaklumkan isu ini termasuk bukti video insiden terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat," katanya.

Pada Isnin, polis dilaporkan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden antara sekumpulan nelayan Malaysia dengan pihak pengawal pantai/sempadan (coast guard) Singapura, yang dipercayai berlaku di perairan negara berhampiran sempadan republik berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin video ‘perang mulut’ itu tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pandak berharap pemetaan semula membabitkan sempadan perairan negara dan Singapura dapat dilakukan kedua-dua negara.

Nelayan di sini sudah berpuluh tahun mencari rezeki di laut dan mereka amat mahir dan mengenali kawasan perairan negara malah sangat menghormati sempadan negara jiran.

"Namun apabila sempadan perairan negara sedikit demi sedikit mula diambil dan kita pula dihalau dari hak kita, sudah pasti nelayan di sini cukup sedih. Kerajaan perlu tegas dalam isu ini," katanya.