Persatuan nelayan serah surat bantahan PSI kepada PM

Ibrahim (empat dari kanan) menyerahkan surat bantahan mengenai projek PSI kepada Muhammad Kamil dalam perjumpaan yang diadakan pada Jumaat.
Ibrahim (empat dari kanan) menyerahkan surat bantahan mengenai projek PSI kepada Muhammad Kamil dalam perjumpaan yang diadakan pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu surat bantahan terhadap projek Selatan Pulau Pinang (PSI) telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) pada Jumaat.

Pengerusinya, Ibrahim Che Rose berkata, surat tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam satu perjumpaan di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung di sini.

Menurutnya, perjumpaan yang berlangsung selama satu jam setengah bermula 10.30 pagi itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Pen Mutiara.

"Selain menyerahkan surat bantahan, kami juga menyatakan alasan-alasan bantahan kami kepada wakil Perdana Menteri. Walaupun tiada keputusan yang dibuat, tetapi agak lega kerana surat bantahan kami telah diserahkan untuk diserahkan kepada Anwar untuk diteliti.

"Selain itu, kami juga telah menyalurkan banyak maklumat mengenai Projek PSI ini yang mana, ia banyak memberi kesan buruk kepada alam sekitar selain memberi impak negatif kepada komuniti nelayan di kawasan terlibat. Lega akhirnya dapat juga serahkan surat bantahan kami kepada Perdana Menteri.

"Sebenarnya kami berhasrat untuk menyerahkan surat bantahan kepada Anwar pada esok (Sabtu) pada Rumah Terbuka Malaysia Madani Perdana Menteri 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh namun dinasihatkan agar membatalkannya kerana ia merupakan satu majlis yang besar dengan melibatkan ramai orang awam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Kata Ibrahim, ia merupakan surat bantahan pertama diserahkan kepada Anwar berhubung Projek PSI yang mana, pada November tahun lalu, pihaknya telah menyerahkan surat permohonan untuk berjumpa dengan Anwar bagi membincangkan berkaitan projek mega tersebut.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

PSR ditentang oleh banyak pihak antaranya Pen Mutiara dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Selain itu, sebelum ini bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut menggesa kerajaan pusat dan Kerajaan Pulau Pinang supaya membatalkan projek PSI serta-merta.

Beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.

Mengulas mengenai kandungan surat bantahan tersebut, Ibrahim berkata, surat yang mengandungi dua muka surat itu telah ditandatangani oleh dirinya selaku Pengerusi Pen Mutiara, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar; Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli dan Timbalan Pengerusi Pen Mutiara, Zakaria Ismail.

"Antara kandungan surat bantahan itu adalah kami menyatakan bahawa dengan projek tersebut, ia akan menyebabkan kehilangan kawasan penangkapan ikan di kawasan teluk yang merupakan santuari dan cukup sesuai untuk ikan.

"Selain itu, projek PSI juga akan menyebabkan nelayan akan kehilangan kawasan tangkapan di luar pantai yang mana aktiviti perlombongan pasir untuk penambakan dijalankan," katanya.

Tambah beliau, dalam surat itu juga menyatakan bahawa kawasan yang menghadap pantai barat Pulau Pinang berjarak 50 kilometer (km) dari pantai akan dimusnahkan oleh aktiviti perlombongan pasir yang akan menurunkan kualiti air yang sesuai untuk pembesaran ikan.

"Kehilangan keseluruhan kawasan penangkapan ikan akan berlaku sehingga 100km dari pantai semasa projek ini berjalan. Aktiviti pemusnahan yang mengambil masa 30 tahun akan memupuskan kuantiti tangkapan ikan kerana beberapa generasi penetasan dan pembesaran terganggu.

"Dengan alasan-alasan tersebut, kami berharap agar Anwar dapat melihat aduan kami ini dari sudut keterjaminan makanan selain dapat meneliti kebaikan, keburukan serta kesan projek ini sekiranya ia masih dijalankan," katanya.

Minggu lalu, Anwar menafikan dakwaan enggan 'melayan' kekecewaan golongan nelayan dan penduduk setempat yang dijangka terjejas susulan pelaksanaan Projek PSI.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukanlah keputusan muktamad untuk membenarkan aktiviti tambakan dilaksanakan di lokasi dicadangkan.