Bergurau, tapi jaga juga air muka orang lain

No Image Caption
A
A
A

AKHIR-akhir ini, Merak Jalanan kerap terbaca berita bencana yang dilaporkan bermula dengan gurauan dan akhirnya berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa.

Mudahnya nyawa seseorang itu hilang dek kerana gurauan.

Mungkin sesetengah orang mengambil mudah perkara ini, tetapi kita perlu mengambil berat isu gurauan yang berlebihan menyebabkan kemudaratan kepada keluarga.

Terdiam apabila membaca berita berkenaan satu kejadian di Puncak Alam pada Ogos lalu, tiga sahabat baik sedang bermain game, kemudian salah seorang daripadanya tertidur atas kerusi di tandas awam tersebut.

Salah seorang daripada mereka telah menyalakan api di bawah kerusi berkenaan dengan niat bergurau, namun api marak dengan cepat, mangsa kemudiannya terkejut dan cuba melarikan diri masuk ke dalam tandas.

Akibatnya, mangsa terperangkap dalam tandas tersebut dan disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas. Sangat tragis, dan mengingatkan kita bahawa betapa mudahnya hilang nyawa.

Kadang-kala kita sendiri juga bergurau, namun ada kala terlupa bergurau bukan dengan kekerasan tetapi dengan body shaming atau mengaibkan sahabat sendiri di khalayak ramai.

Ya memang ramai-ramai tergelak, malahan terhibur sehingga terkeluar air mata kegembiraan, nak pula ada yang ‘mencucuk’ bagi lagi riuh rendah.

Artikel Berkaitan:

Tetapi pernahkah kita terfikir akan hati yang menjadi mangsa itu, di manakah perasaannya?

Diaibkan di khalayak ramai yang semestinya meninggalkan kesan terlalu mendalam. Akibat terlalu seronok, kita terlupa telah aibkan sahabat sendiri.

Namun itulah yang dihadapi, kita terlalu seronok hingga lupa yang keseronokan kita itu membuatkan pihak lain menderita dengan mendalam.

Merak Jalanan teringat pesan seorang sahabat, boleh bergurau, tetapi jangan sampai orang lain terasa, nanti kena merangkak di padang mahsyar!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!