Fariz nafi jadi calon PN di Parlimen Dungun

Poster tular di media sosial baru-baru ini memaparkan calon Pas dan Bersatu dikatakan mewakili PN untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
Poster tular di media sosial baru-baru ini memaparkan calon Pas dan Bersatu dikatakan mewakili PN untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pengamal undang-undang, Datuk Fariz Irwan Mustafa menafikan beliau menjadi calon bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Dungun sebagaimana tular di media sosial, baru-baru ini.

Anak kepada bekas pemimpin Pas itu berkata, beliau sendiri terkejut apabila menerima poster lapan calon PN yang turut mempamerkan gambarnya di kerusi parlimen itu.

"Saya hanya dapat tahu mengenai poster yang ditularkan itu apabila menerima kiriman daripada kenalan melalui WhatsApp.

"Saya terkejut kerana tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Sebagai peguambela dan peguamcara, kita hanya berkhidmat untuk rakyat, jauh sekali meminta atau menawarkan diri untuk sebarang jawatan dalam politik," katanya ketika ditemui pada program anjuran Pertubuhan Kebajikan Lepasan Pelajar Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM CARE) di sini, pada Isnin.

Fariz bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan sebarang keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

"Saya menafikan poster yang ditularkan itu. Sebarang keputusan (Pilihanraya Umum ke-15) kita serahkan dan bergantung sepenuhnya kepada presiden dan parti.

"Program yang kita jalankan pada hari ini (Isnin) pun tiada kena mengena dengan PRU kerana ia sudah dirancang awal dan kebetulan tarikh untuk ia diadakan jatuh selepas pembubaran Parlimen," katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial poster memaparkan beberapa pemimpin Pas iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus, Khalil Abdul Hadi (Marang), Fariz (Dungun), Hanafiah Mat (Kemaman), Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu) dan Zabidi Yusof (Besut).

Artikel Berkaitan:

Dua lagi calon ialah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Razali Idris (Setiu).

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kesahihan poster lapan calon PN yang tular di media sosial.

Katanya, sesiapa sahaja boleh membuat poster sedemikian atas pelbagai tujuan menjelang PRU15 tidak lama lagi.

Selain Ahmad Samsuri, Razali turut mengesahkan beliau tidak bertanding di mana-mana Parlimen pada pilihan raya kali ini.