Rasuah: Penolong pegawai wanita dipenjara 14 hari, denda

Norhayati (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekal, empat tahun lalu.
Norhayati (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekal, empat tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 ke atas seorang Penolong Pegawai Belia dan Sukan kerana menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekal, empat tahun lalu.

Tertuduh, Norhayati Iskar, 37, yang bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, Norhayati didapati menerima wang tunai RM10,000 daripada pemilik syarikat SA Affandi Enterprise, Syed Azrol Affandi Syed Rahmad membabitkan perkhidmatan bekalan bagi Liga Sukan Untuk Semua Peringkat Daerah Segamat 2015.

Dia yang melakukan kesalahan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat pada bulan Oktober 2015 di dakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis ketika membuat rayuan dengan mengatakan dirinya sudah insaf dan mahu menjadi insan lebih baik selepas ini.

Hakim kemudiannya ketika menjatuhkan hukuman turut menasihatkan tertuduh dan masyarakat supaya menjadikan kesalahannya ini sebagai iktibar.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yunus Mohamed.

Artikel Berkaitan: