'Ketuai Langkah Sheraton, pengakuan Hadi tidak mengejutkan'

Khalid
Khalid
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pengakuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa dirinya yang memulakan Langkah Sheraton bagi menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) lebih dua tahun lalu disifatkan bukan perkara mengejutkan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mendakwa, tindakan dibuat Abdul Hadi itu kerana terdesak untuk memastikan parti berkenaan kekal berkuasa.

Tambahnya, sekiranya bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat masih ada, perkara sedemikian pasti tidak akan berlaku.

“Abdul Hadi jauh berbeza daripada Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. (Jika) Tok Guru (masih ada), beliau tidak akan bersetuju dengan Langkah Sheraton ini kerana beliau menghormati mandat rakyat.

“(Tetapi) Abdul Hadi sangat terdesak bagi memastikan Pas kekal berkuasa kerana dengan membiarkan PH terus berkuasa adalah menjadi kesukaran buat mereka (Pas) kerana populariti PH akan menyukarkan parti itu mengekalkan sokongan ahli dan penyokong mereka.

“Jadi, saya tidak terkejut jika Abdul Hadi salah seorang mastermind (Langkah Sheraton) kerana ia adalah fikiran jahat dan seperti saya katakan Allahyarham Tok Guru tidak akan bersetuju dengan langkah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan PH di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Abdul Hadi mengakui beliau memulakan Langkah Sheraton, bertujuan menjatuhkan PH selepas Pas beranggapan gabungan itu sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia berikutan protes besar-besaran ke atas cubaan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur sebelum ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid turut memberitahu parti gabungan itu secara rasmi bersetuju menggunakan logo PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Berkenaan logo, ia telah dipersetujui bahawa kita akan gunakan logo PH bagi memudahkan pengundi,” katanya.