Produk pelancongan kembali dapat permintaan

Musa (dua dari kiri) menerima senarai resolusi daripada Ahamad Tarmizi Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 pada Ahad.
Musa (dua dari kiri) menerima senarai resolusi daripada Ahamad Tarmizi Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Produk pelancongan di negara ini sudah mula mendapat permintaan dari dalam dan luar negara selepas dunia berdepan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi), Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, penggiat seni juga aktif mempromosikan produk yang dikeluarkan mereka.

Menurutnya, golongan itu menghadapi masalah apabila kurang permintaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, pendekatan drastik kerajaan mengaktifkan semula sempadan selepas Covid-19 diumumkan sebagai endemik menaikkan semula permintaan.

"Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) juga optimis untuk bekerjasama bagi memulihkan industri pelancongan dan peralihan norma baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 di sini pada Ahad.

Selain itu, Musa berkata, Bajet 2023 yang memperuntukkan RM200 juta untuk sektor pelancongan diharap dapat membantu memulihkan aktiviti penggiat seni.

"Jangkaan kedatangan 15 juta pelancong asing tahun depan juga boleh membantu penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Musa sebelum itu turut menerima satu resolusi yang disampaikan oleh Pengerusi Simposium Warisan Perdana, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan.

Dalam pada itu, Ahamad Tarmizi berkata, Resolusi Persidangan Meja Bulat Penggiat Seni dan NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) dan Budaya Negeri Kelantan itu bertujuan meningkatkan taraf penggiat seni.

Musa (atas, tiga dari kanan) bersama tetamu jemputan dan ahli panel Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 pada Ahad.
Musa (atas, tiga dari kanan) bersama tetamu jemputan dan ahli panel Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 pada Ahad.

"Antara perkara utama yang disenarai dalam resolusi itu ialah permohonan dana daripada kerajaan untuk menyemarakkan warisan budaya.

"Kita juga memohon kerajaan mengiktiraf penggiat seni supaya mempunyai gelaran iaitu Ps untuk pelukis, seperti Ar untuk arkitek, Dr untuk doktor dan Ir untuk jurutera," katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan, Rosnan Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengerusi TOK 2022, Nik Abdul Aziz Nik Mohamad.

Ahamad Tarmizi memberitahu, turut disenaraikan melalui resolusi itu ialah penubuhan Majlis Seni Malaysia bagi memberi peluang kepada penggiat seni lebih aktif dan dikenali.

Pada simposium sama, Muhammad Nasir turut menjadi ahli panel yang menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Media Kreatif dalam Industri Seni Warisan Budaya.