'Jangan hina orang asli'

Manickam (tengah) bersama penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Temenggalam, Jempol ketika melawat mereka.
Manickam (tengah) bersama penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Temenggalam, Jempol ketika melawat mereka.
A
A
A

JEMPOL - Komen jelik terhadap masyarakat orang asli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini perlu diambil tindakan tegas bagi mengelakkan perkara sama berulang dan menjejaskan perpaduan kaum.

ADUN Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, beliau tidak nampak ada isu dalam kalangan masyarakat orang asli di negara ini.

"Saya biasa ke kampung-kampung orang asli di kawasan DUN Jeram Padang. Masuk keluar rumah ziarah, makan minum bersama mereka, hadir dalam majlis kenduri kahwin serta ziarah orang meninggal adalah biasa bagi saya.

"Saya tidak nampak apa-apa beza orang asli dibandingkan komuniti lain. Antara mereka kini ada yang sudah berjaya menjadi doktor, jurutera, guru, jururawat dan pegawai kerajaan. Jangan lupa Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor adalah orang asli yang merupakan bekas pegawai tertinggi PDRM," katanya kepada Sinar Harian.

Manickam berkata, beliau mahu pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu ini.

"Saya mohon polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) buat siasatan dan ambil tindakan segera terhadap pemilik akaun Facebook yang tular selepas menghina orang asli.

"Saya difahamkan banyak laporan polis dan SKMM dibuat masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia," katanya.

Sebelum ini, tular di Facebook seorang pemilik akaun yang menghina masyarakat orang asli.

Artikel Berkaitan: