Elak wujudnya pengundi 'hantu' pada PRU15

Mohd Shafie ketika hadir pada program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan Bahagian Sepanggar, di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika hadir pada program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan Bahagian Sepanggar, di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus perjelaskan keadaan berhubung jumlah pengundi yang meningkat secara mendadak di Sabah khususnya pengundi India di Kudat bagi mengelak wujudnya pengundi 'hantu' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau bimbang dengan perkara itu dan ia sudahpun dibangkitkan kepada Pengerusi SPR untuk mendapatkan penjelasan.

"Kita tahu bila sistem proses secara automatik, maka siapa yang kad pengenalannya berdaftar di alamat yang digunakan secara kebetulan di Kudat. (Tetapi) sejak bila jumlah begitu besar ada suku kaum itu (India) itu di Kudat.

"Ini yang kita bangkitkan, tetapi jangan tuduh orang, tuduh kita buat IC (kad pengenalan). Takkan di situ 14,000 pengundi India sedangkan saya tahu (di sana) suku kaum Bajau Ubian," katanya ketika ditemui pemberita ketika hadir pada program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan Bahagian Sepanggar, di Kolombong, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Penampang, Senator Datuk John Ambrose bahawa terdapat lebih 16,000 pengundi India yang berada dalam daftar pemilih di Parlimen Kudat.

Sementara itu, dalam majlis sama Mohd Shafie turut mengumumkan dua lagi calon bagi Parlimen Penampang dan Sepanggar dengan mengekalkan penyandangnya.

"Saya juga berpeluang mengumumkan calon Ahli Parlimen kita di Penampang ialah Timbalan Presiden (Datuk Darell Leiking) dan di Sepanggar kita namakan Datuk Azis Jamman sebagai calon.

"(Bagi calon Kota Kinabalu) kita akan umum bila tiba masanya, sebahagian mereka kita akan senaraikan calon yang mempunyai keupayaan trek rekod yang cukup kuat bukan hanya Sabah tetapi juga negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kerana Parlimen tempatnya kita bersidang dan di situ mereka lontarkan idea baharu, pandangan baharu yang boleh bawa sebagai sebahagian daripada dasar negara bukan hanya dari segi ekonomi bahkan kestabilan," katanya.

Warisan setakat ini sudah mengumumkan lima calonnya termasuk muka baharu bagi Parlimen Sipitang, Datuk Adnan Puteh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof sebagai calon Parlimen Kimanis manakala penyandang kerusi Parlimen Papar, Ahmad Hassan kekal bertanding di kerusi berkenaan.