UMNO hantar ketua bahagian tanding di Tambun

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

BAGAN DATUK - Nama Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dicadang sebagai calon kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama pemimpin parti itu dicadangkan sendiri oleh UMNO Perak untuk mewakili BN di kerusi berkenaan.

"Untuk calon BN di Parlimen Tambun, nama yang dicadangkan oleh UMNO negeri ialah Datuk Aminuddin.

"Beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian (Tambun) dan juga setiausaha UMNO negeri," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Sambutan Deepavali Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang dekat sini pada Sabtu.

Pada PRU14, Aminuddin bertanding di kerusi DUN Hulu Kinta dalam Parlimen Tambun, namun tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Kerusi Parlimen Tambun menjadi tumpuan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kawasan itu yang kini disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kesediaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagi menawan kerusi berkenaan daripada Bersatu sekali gus menjadikan Perak sebagai barisan hadapan perjuangan gabungan parti itu dalam PRU kali ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui, Perak merupakan antara negeri kubu kuat BN, begitupun, percubaan PH untuk menawan Perak amatlah dialu-alukan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai negara demokrasi, tentunya mana-mana calon yang ingin bertanding, bebas untuk bertanding, tidak kiralah dia ahli biasa atau presiden sesebuah parti.

"Perak adalah kubu kuat BN, kalau mana-mana parti mahu mencuba, kita mengalu-alukannya percubaannya," katanya.