Adakah Ahmad Faizal akan lawan Anwar di Tambun?

Ahmad Faizal, Anwar
Ahmad Faizal, Anwar
A
A
A

TEKA-teki di mana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun.

Bagaimanapun, siapakah yang akan melawan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di kerusi berkenaan pada PRU15 nanti?

Adakah penyandang yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mempertahankan kerusi berkenaan?

Sekiranya Ahmad Faizal kekal untuk bertanding di Tambun, ia akan menjadikan kerusi berkenaan antara ‘hot seat’ dalam PRU15.

Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

Oleh itu, laluan Anwar yang mengumumkan dirinya bertanding di kawasan berkenaan juga dijangka tidak mudah jika Ahmad Faizal bertanding di kawasan itu.

Ini kerana, Ahmad Faizal yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Perak sudah tentu mempunyai pengaruhnya di Tambun berbanding Anwar yang pertama kali mahu bertanding di kawasan berkenaan.

Anwar ketika mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi itu turut mengakui tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.

Artikel Berkaitan:

Saya tak memilih kawasan yang mudah, yang jamin majoriti besar. Saya ketuai, saya mengepalai dan berani tawan (Parlimen) Tambun dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat keyakinan kita.

“Saya bukan tawan kerusi mudah, saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya, Perak jadi barisan harapan perjuangan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh pada Khamis.

Selain itu, dengan beralihnya Anwar ke Tambun, timbul juga tanda tanya siapakah yang akan bertanding di kawasan Port Dickson mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) nanti.

Ini kerana wujudnya desas-desus bahawa PKR akan mempertaruhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi mempertahankan kerusi berkenaan.