PRN Melaka: PN letak harapan tinggi cipta kejutan di Kesidang

KOTA MELAKA - Perikatan Nasional (PN) meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kejutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dan seluruh Melaka menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, menjelang hari terakhir kempen yang berbaki lima hari.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN melihat PRN Melaka sebagai peluang penting untuk membuktikan kerjasama politik baharu antara parti komponen mampu menjadi asas kukuh bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Apa juga yang berlaku di Melaka ini sangat penting. Maklum balas yang kita terima di lapangan juga sangat positif walaupun kita tidak menafikan berdepan cabaran kerana mereka merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Saya melihat asas yang diteroka dalam PRN Negeri Sembilan sebelum ini sebagai sesuatu yang sangat penting. Kita masih dalam proses mengenali antara satu sama lain walaupun hubungan peribadi sesama komponen Barisan Nasional (BN) dan PN sudah lama terjalin,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan DUN Kesidang di Malim Jaya pada Ahad.
Di Melaka katanya, kerjasama BN-PN dilihat bergerak lebih jauh ke hadapan apabila beberapa siri perbincangan awal dapat dilakukan berbanding di Negeri Sembilan.
“Kerjasama ini mampu memberikan keputusan lebih baik dari segi peratusan undi berbanding pencapaian di Negeri Sembilan.
“Saya yakin Melaka mampu menjadi batu loncatan kukuh untuk membuktikan bahawa kerjasama politik baharu yang dibina ini berupaya membawa kita ke Putrajaya,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, DUN Kesidang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Albert Kok; calon Pakatan Harapan (PH), Allex Seah dan calon Bersama, Dr Bryan Kek.
Pada PRN Melaka 2021, kerusi itu dimenangi Allex Seah daripada PH dengan memperoleh 14,769 undi, menewaskan calon BN, Leong Hui Ying yang mendapat 4,532 undi dan calon PN, Patrick Ng dengan 3,124 undi.
Kemenangan itu menyaksikan PH mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 10,237 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

