Anwar umum tanding Parlimen Tambun

No Image Caption
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum diri bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.

Mengakui Parlimen Tambun bukan satu kerusi yang mudah ditandingi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yakin mampu mencipta kemenangan di kerusi itu.

Saya akui sukar. saya akui bukan medan biasa, tetapi saya datang dengan keyakinan untuk merampas Tambun dan Perak.

"Sebagai ketua, saya kena berani untuk merempuh dan tawan Tambun dalam PRU15 nanti," katanya.

Anwar berkata, kesediaannya bertanding di kerusi Tambun adalah bagi mengangkat Perak sebagai barisan hadapan perjuangan gabungan parti itu dalam PRU kali ini.

Katanya, Perak juga punya potensi menjadi sehebat Pulau Pinang dan Selangor sebagai gergasi ekonomi negara selari dengan kehendak rakyat yang dahagakan kepimpinan punya dasar ekonomi yang jelas untuk menarik pelaburan.

"Mat Sabu (Mohamad Sabu) sebut bahawa dalam titah Tuanku (Sultan Perak) berulang kali memperlihatkan ketegasan dengan sikap kerakusan dan gelojoh tokoh-tokoh politik.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak beritahu dan persembah kepada Tuanku bahawa kami akan sama-sama bersihkan politik negeri Perak ini," katanya.

Anwar dijangka berdepan dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hampir pasti mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.

Dengan pengumuman itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, pada 13 Oktober 2018.

Anwar sebelum ini membayangkan untuk memberi laluan kepada calon lain mewakili parti berkenaan untuk bertanding kerusi disandangnya itu.

Antara nama disebut termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dikatakan bakal dipertaruhkan PKR bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

Bersatu yang kini bersama Pas menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar mengekalkan bekas Menteri Besar Perak itu bertanding di kerusi sama untuk mempertahankan kemenangan.