PRU15: SPR perlu umum SOP jika berlaku banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berlaku banjir ketika tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam dalam kenyataan pada Khamis berpandangan, SPR perlu segera mengumumkan SOP berkaitan agar semua pihak terutamanya parti politik, calon dan agensi terlibat boleh membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana tersebut.

Pada 16 Oktober lalu, banjir kilat (berlaku) di Langkawi (Kedah) telah menjejaskan 30 kawasan penduduk dengan 38,118 pengundi terkesan. Hari ini hujan ribut telah memusnahkan lebih 60 rumah di tujuh kampung di Besut, Terengganu.

“Sekiranya bencana sama berlaku (ketika musim PRU15), apakah SOP untuk meneruskan atau menangguhkan pilihan raya di daerah mengundi tersebut, atau lebih parah penangguhan PRU15 di peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Bersih turut menuntut SPR melanjutkan tarikh tutup bagi permohonan undi pos kategori 1B (pengundi luar negara) untuk tempoh seminggu lagi seperti undi pos kategori 1C (agensi) iaitu pada 26 Oktober ini.

Bersih berpandangan, kemungkinan masih ramai pengundi luar negara yang baru menyedari untuk memohon sebagai pengundi pos.

Justeru katanya, SPR bertanggungjawab memastikan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk dilibatkan dalam setiap pilihan raya, terutamanya PRU15.

Sementara itu, mengenai tempoh kempen pula, Bersih beranggapan tempoh 14 hari bermula 5 hingga 18 November adalah waktu yang singkat.

Artikel Berkaitan:

"Bersih kecewa kerana SPR masih tidak menetapkan tempoh kempen pilihan raya minimum selama 21 hari bagi memberi ruang kepada jentera pihak yang bertanding untuk bertemu rakyat memandangkan terdapat pertambahan pengundi hampir enam juta berbanding PRU14.

“Selain itu, tempoh minimum 21 hari juga akan beri masa yang lebih kepada pengundi pos di luar negara untuk menghantar kertas undi kepada pegawai pengurus sebelum masa mengira undi,” jelasnya.