Rayuan petisyen pilihan raya Gua Musang, Putrajaya pada 19 Jun

Mahkamah Persekutuan menetapkan 19 Jun bagi mendengar rayuan BN mengenai dua petisyen pilihan raya yang difail untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi parlimen Putrajaya dan Gua Musang.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 19 Jun bagi mendengar rayuan BN mengenai dua petisyen pilihan raya yang difail untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi parlimen Putrajaya dan Gua Musang.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 19 Jun bagi mendengar rayuan Barisan Nasional (BN) mengenai dua petisyen pilihan raya yang difail untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen Putrajaya dan Gua Musang.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh berkenaan.

Naib Ketua Bahagian Umno, Putrajaya Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim menfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi parlimen Putrajaya, manakala Mohd Azmi Mahmood, mewakili calon BN Tengku Razaleigh Hamzah menfailkan petisyen bagi kerusi parlimen parlimen Gua Musang.

Mohd Radzi memenangi kerusi parlimen Putrajaya dengan menewaskan penyandang empat penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional dengan majoriti 2,310 dalam pertandingan enam penjuru.

Beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional dalam PRU15.

Sementara itu calon Pas, Datuk Mohd Azizi Abu Naim memenangi kerusi parlimen Gua Musang pada PRU15 dan memperoleh 1,826 undi, menewaskan Tengku Razaleigh.

Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing telah membatalkan petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Mohd Radzi dan Mohd Azizi.

Pada 10 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Mohd Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan bahawa Ahmad Faisal gagal membuktikan bahawa amalan rasuah dilakukan sama ada Radzi atau ejennya.

Terdahulu pada 26 Februari Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen Mohd Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ahmad Faisal dan Mohd Azmi kemudiannya memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Dalam petisyen itu Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Mohd Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Putrajaya, dengan mendakwa wakil Perikatan Nasional itu memberi RM150 kepada pengundi sebagai dorongan untuk mereka mengundi Mohd Radzi.

Sementara itu Mohd Azmi dalam petisyennya memohon untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan parlimen Gua Musang tidak sah, dan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu. - Bernama