Rayuan petisyen pilihan raya Parlimen Segamat didengar 28 Julai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Julai untuk mendengar rayuan calon Barisan Nasional, Tan Sri M. Ramasamy untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat.

Pihak pendaftar mahkamah telah memaklumkan kepada peguam yang mewakili Ramasamy, calon Pakatan R.Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh pendengaran rayuan itu melalui surat bertarikh 22 Mei.

Ramasamy merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 3 April lepas yang menolak petisyen pilihan rayanya.

Ramasamy yang juga Bendahari MIC bertanding sebagai calon Barisan Nasional bagi kawasan parlimen Segamat pada PRU15.

Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lepas dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan itu, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey dari Pejuang.

Dalam petisyennya, Ramasamy memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid berkata terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Beliau berkata, petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar serta material dan menambah bahawa petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas dan tepat.

Mohd Radzi telah menerima bantahan awal oleh responden yang dibangkitkan dalam usaha mereka untuk menolak petisyen Ramasamy.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!