Sudah tiba masa KPM rombak silibus pendidikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK pendedahan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh tentang dirinya hampir ‘dibuang kerja’ oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dek kerana bersuara lantang tentang beberapa perkara, banyak pihak tampil memberi pelbagai reaksi.

Kebanyakan yang memberi respons ialah ibu bapa yang berasa terkesan dengan isu melibatkan anak-anak mereka.

Antara yang paling popular diperkatakan adalah tentang silibus pendidikan dikatakan susah ‘tahap dewa’.

Menjawab persoalan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, silibus pendidikan yang digunakan sekarang dimulakan sejak 2017 dan tidak boleh ditukar setiap tahun.

Namun, berita baiknya tahun ini sudah selesai tempoh satu pusingan silibus untuk sekolah rendah, manakala sekolah menengah tamat tahun lepas.

Sudah tentu, kini masa terbaik untuk rombak silibus setelah menerima kritikan berterusan sejak lima tahun lalu.

Apatah lagi, sistem pendidikan kita dilanda badai selama hampir dua tahun sejak awal 2020 apabila negara berdepan wabak Covid-19.

Masalah mula timbul apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara online diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun ia usaha murni agar murid tidak ketinggalan, namun dalam situasi ekonomi rakyat tenat ketika itu, ada ibu bapa terpaksa memilih antara meneruskan survival atau membeli gajet untuk anak belajar.

Murid yang mampu belajar secara PdPR juga ramai menjadi lesu kerana tidak faham penjelasan guru, selain latihan dibuat tergesa-gesa kerana kurangnya masa dan ia perlu direkodkan segera. Kalau tidak, tak dapat markah!

Natijahnya, pada Disember 2021, dilaporkan seramai 21,316 murid telah berhenti sekolah sejak Mac 2020!

Satu pelan silibus ‘mesra murid’ sangat perlu digubal segera setelah mengambil kira semua faktor di atas.

Jangan sampai mereka rasa sangat terbeban dan tidak lagi seronok ke sekolah kerana apa yang diajar tidak mampu dicapai akal.

Kepada Cikgu Fadli, terima kasih juga kerana mencetuskan panik yang baik ini kerana akhirnya suara murid dan ibu bapa yang ‘menderita’ dalam diam akhirnya didengari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!