Tiada rundingan dengan Pas selepas PRU15, kata Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.
Ahmad Zahid ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pendekatan itu diambil bukan menunjukkan sikap riak, ujub, sombong dan takbur namun Pas dilihat tidak mempunyai pendirian tetap dalam membentuk kerjasama politik.

"Tiada rundingan selepas PRU15, kita bukan riak, bukan sombong, kita bukan takbur, bukan ujub. Insya-ALLAH rakyat dan pengundi telah sedar, mereka akan memberikan undi dan berikan kepercayaan semula kepada BN,

"Ketika itu, apabila kita jadi kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh nak jumpa kita. Kita kata cukup sampai di sini, kita mesti kata juga, sayang sudah terlambat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera BN Kedah PRU15 di Dataran Serdang pada Rabu.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya hanya memilih 'kawan' yang teguh pendirian serta kekal bersama tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang.

"Nak cakap siang pandang-pandang, nak cakap malam dengar-dengar. Apabila ada situasi politik baharu keluar fatwa baharu, bila untuk diri dia, keluar fatwa baharu, bila nak salah orang lain, keluar nama baharu, ayat Quran tetap sama, hadis tetap sama, tafsir lain-lain. Cukuplah Pak Lebai, taubat cepat-cepat," katanya.

Artikel Berkaitan: