Tiada niat lengahkan enakmen lompat parti

Saarani (tengah) ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak pada Rabu.
Saarani (tengah) ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak berniat untuk melengah-lengahkan pembentangan Enakmen Anti Lompat Parti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebaliknya kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia tidak sempat dibawa ke mesyuarat Exco sebelum mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kemudian dibentangkan ke dalam sidang DUN.

Menurutnya, sebarang notis usul memerlukan masa sekurang-kurangnya 14 hari untuk memanggil sidang DUN, namun perkara itu terlalu suntuk untuk diadakan.

"Kita perlu tunggu pihak kerajaan Persekutuan mewartakan dahulu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti itu.

"Kerajaan Persekutuan mewartakan RUU itu sewaktu saya berada di Belgium dan minggu itu tak ada mesyuarat Exco. Jadi kalau kita nak bawa dalam mesyuarat Exco yang terakhir minggu lepas kemudian DUN dibubarkan, kita tak sempat buat keputusan.

"Kita bukan sengaja melengah-lengahkan. Kita berpegang, untuk membawa usul ini ke DUN kena tunggu RUU itu diwartakan peringkat Persekutuan, baru boleh ke sidang DUN," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir UMNO Perak di Bangunan UMNO Negeri Perak di sini pada Rabu.

Sementara itu, Saarani turut membidas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming kerana menuduh penangguhan pembentangan RUU itu sebagai taktik BN menarik wakil rakyat untuk lompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, DAP perlu mengingat kembali peristiwa selepas PRU14 apabila PH menerima dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN melompat dan menyokong mereka dalam memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu lawaklah. Tengok sejarah 2018, BN curi orang PH ke, PH curi orang BN? Tanya Nga Kor Ming 2018 semasa PH bentuk kerajaan, dia yang curi orang BN. Bukan BN curi orang dia. Cermin diri sendiri," katanya.

Pada 17 Oktober lalu, Kor Ming dalam sidang akhbarnya mendakwa kegagalan kerajaan Perak mengadakan sidang DUN khas bagi membentang dan meluluskan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan peruntukan RUU Anti Lompat Parti bakal mewujudkan lagi episod 'katak politik' di negeri itu.