Atasi kekurangan bekalan makanan sebelum musim tengkujuh

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan diminta menangani masalah kekurangan barangan keperluan harian khususnya telur ayam dengan segera sebelum isu itu dikhuatiri menjadi lebih serius ketika musim tengkujuh.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Cake menerima banyak rungutan daripada pengguna dan peniaga tentang kekurangan barangan keperluan terbabit sejak tiga minggu lepas.

Menurut beliau, pihaknya mendapati masalah kekurangan bekalan telur ayam hingga menimbulkan keresahan kepada golongan itu sememangnya berlaku melalui pemantauan berterusan Cake.

“Apabila harga ikan naik, pengguna beralih kepada ayam dan telur ayam, namun kini ada barangan yang naik harga dan telur ayam pula sukar diperoleh di sesetengah kawasan.

“Misalnya, bekalan telur diterima di Pasar Besar Alor Setar adalah sebanyak 500 biji sehari sebelum ini, sebelum dikurangkan kepada 250 biji sehari sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Disebabkan itu, kata beliau, pengguna termasuklah peniaga tidak dapat membeli telur dalam kuantiti diperlukan disebabkan kekurangan bekalan barangan itu.

“Dahulu, mereka boleh beli dalam 30 biji telur ayam di kedai, bagaimanapun kini ada yang hanya dapat membeli kira-kira 20 biji telur ayam,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan agresif bagi memastikan bekalan berkenaan tidak terputus sekiranya berlaku banjir.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masalah kekurangan bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) turut dikesan di premis tertentu, selain isu telur ayam.

“Pihak terbabit perlu melakukan siasatan berhubung masalah kekurangan bekalan barangan keperluan harian tertentu ini sekaligus mencari jalan penyelesaian bagi membantu pengguna,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekurangan bekalan telur di pasaran di beberapa daerah di Kedah dipercayai berpunca daripada jumlah telur yang dihadkan kuota oleh pemborong kepada peniaga.