SOP UndiBanjir: SPR, Nadma perlu fokus tiga perkara

SPR dan Nadma perlu mengeluarkan SOP sekiranya berlaku banjir semasa proses pengundian. - Foto Bernama
SPR dan Nadma perlu mengeluarkan SOP sekiranya berlaku banjir semasa proses pengundian. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berlaku banjir semasa proses pengundian (UndiBanjir).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan, SOP itu perlu memfokuskan kepada tiga perkara iaitu langkah pemulihan yang akan diambil, garis merah untuk mempercepatkan pemulihan dan siapa bakal terlibat dalam keputusan besar berhubung bencana tersebut.

Menurut kenyataan itu, persediaan yang tidak mencukupi semasa banjir menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda serta hak mengundi.

"Ia juga akan mendedahkan Pegawai Kanan SPR dan Nadma kepada saman disebabkan kecuaian selain menyebabkan ketidakstabilan politik,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, mesyuarat SPR yang diadakan pada esok (Khamis) untuk menentukan hari penamaan dan hari pengundian juga perlu mengumumkan pelan kontingensi untuk mengelakkan halangan pengundian akibat bencana banjir.

“SPR juga perlu memastikan wakil mereka untuk duduk di dalam Jawatankuasa Pengurusan Banjir di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah bagi memastikan keputusan untuk menyelamatkan nyawa dan memelihara demokrasi diseimbangkan.

“Bersih menyeru semua pihak untuk menghormati peranan SPR sebagai institusi bebas dan memberikan ruang yang secukupnya bagi membuat keputusan profesional dalam proses pilihan raya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPR, Nadma dan tiga peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana perlu membuat persediaan untuk situasi jika banjir kilat di Pulau Langkawi berlaku pada atau sebelum hari pengundian.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, laporan media memaklumkan bahawa sekurang-kurang 30 kawasan penduduk dilanda banjir melibatkan 14 daripada 27 daerah pengundian.

"Keadaan ini berpotensi menjejaskan 38,118 pengundi atau 57 peratus daripada 66,808 pengundi Pulau Langkawi.

“Daripada 14 sekolah atau dewan di kawasan daerah pengundian yang telah digunakan sebagai pusat mengundi, sebuah sekolah telah terjejas dan sebuah lagi tersenarai sebagai kawasan amaran banjir.

“Jika tarikh pilihan raya pada 17 Oktober (satu hari selepas banjir), apa langkah yang akan diambil, pemanjangan tempoh pengundian? Pengangkutan pengundi dengan bot di kawasan kurang terjejas ke pusat pengundian?' kata kenyataan itu.