Boleh dakwah selagi tidak bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Idris - Foto Bernama
Idris - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membenarkan mana-mana individu luar melakukan dakwah di negara ini selagi tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bagaimanapun menegaskan, orang ramai diminta membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam sekiranya terdapat unsur-unsur yang meragukan terhadap individu yang melakukan dakwah.

Menurutnya, umat Islam juga diingatkan agar berhati-hati memilih individu untuk mendalami agama.

"Garis panduan kita (membenarkan individu berdakwah), kita tekankan yang tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Selain daripada itu jika yang menimbulkan konflik kita tak benarkan. Terutama yang menimbulkan perpecahan.

"Sebab kalau nak belajar, carilah guru yang beramal dengan ilmu dia. Bandingkan dengan pendakwah-pendakwah yang ada kelayakan menghuraikan agama.

"Kalau agak pelik-pelik sangat itu tak boleh ikutlah. Laporkan kepada jabatan agama untuk ambil tindakan. Kerjasama kita semua penting dalam membasmi perkara seperti ini. Tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa. Kita tak boleh ambil tindakan sendiri," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerajaan khususnya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan saringan bagi mana-mana individu luar yang mahu berdakwah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Idris berkata, saringan adalah kelaziman yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam negeri kerana punca kuasa untuk mengambil tindakan terletak kepada agensi berkenaan.

Selain itu katanya, kebenaran juga perlu diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kadang orang datang kita pun tak tahu...dia mungkin datang melalui kaedah biasa sebagai pelancong misalnya. Dia bukan datang sebagai pendakwah," katanya.

Tular mengenai seorang lelaki yang hadir ke Malaysia baru-baru terlibat dengan penipuan wang dan nasab di Maghribi.

Lelaki itu yang didakwa sebagai cicit ke-38 Nabi Muhammad SAW sebelum ini berada di Malaysia dan sempat mengikuti beberapa siri jelajah di beberapa negeri sebelum pulang ke Maghribi beberapa hari lalu.