Penerokaan REE: Rakyat berhak tahu perkara sebenar

Syed Mohd Johan Rizal (tengah) menunjukkan laporan polis berkaitan isu penerokaan haram REE Bukit Enggang di hadapan IPD Kota Setar.
Syed Mohd Johan Rizal (tengah) menunjukkan laporan polis berkaitan isu penerokaan haram REE Bukit Enggang di hadapan IPD Kota Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menyelar sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sehingga kini masih 'membisu' berhubung isu unsur nadir bumi (REE) yang dicuri di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, penjelasan Muhammad Sanusi pada 7 Oktober lalu berhubung isu berkenaan tidak meyakinkan dan rakyat mahukan penjelasan lanjut.

Menurutnya, penafian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik bagi meneroka REE juga menimbulkan pertikaian.

"Beliau seolah tidak memandang serius isu REE yang dibangkitkan ramai pihak.

"Jangan terlalu tidak ambil peduli sedangkan pelbagai pihak sudah mendesak beliau perjelaskan beberapa isu. Namun selepas dua minggu isu berkenaan didedahkan menerusi media, Muhammad Sanusi masih membisu mengenai tindakan terhadap penerokaan haram itu yang berlaku di kawasan beliau sendiri," katanya di sini pada Isnin.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia itu turut kesal dengan sikap Muhammad Sanusi dalam mengendalikan kes REE berbanding isu lain.

"Ini sesuatu yang pelik sebab kalau babitkan isu lain, contohnya bola sepak, beliau tangkas mengkritik pasukan lain. Tetapi dalam isu penting seperti REE, beliau menjadi bisu," katanya sinis.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kedah mendesak Muhammad Sanusi tampil memperjelaskan beberapa persoalan antaranya mengenai nilai sebenar REE yang telah dicuri pihak tidak bertanggungjawab itu.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa sebelum ini, kerajaan negeri tidak bertindak menghalang pencerobohan sedangkan ia sudah lama berlaku.

"Jangan berikan alasan tidak tahu kerana kecurian itu berlaku di kawasan Jeneri sendiri, beliau sudah pasti mendapat maklumat daripada penduduk atau laporan agensi kerajaan," ujarnya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya mendedahkan bentuk tindakan seterusnya selepas penerokaan haram itu didedahkan.

"Adakah beliau akan arahkan supaya menutup kawasan berkenaan? Atau menamatkan lesen penerokaan syarikat yang diluluskan?

"Jangan biarkan rakyat diselubungi pelbagai persoalan, rakyat berhak tahu perkara sebenar," katanya.

Sehubungan itu juga, Syed Mohd Johan Rizal mewakili Pemuda UMNO Kedah membuat laporan polis berhubung kegiatan perlombongan REE di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Isnin lepas.

Laporan dibuat bagi meminta siasatan menyeluruh dilakukan sama ada wujud salah guna kuasa mahupun rasuah di mana-mana peringkat.

"Kami berharap laporan polis berkenaan dapat memberikan pencerahan terhadap apa yang sebenarnya berlaku sehingga kawasan hutan yang sebegitu luas diterokai tanpa sebarang tindakan oleh kerajaan negeri," katanya.

Pada 7 Oktober, Muhammad Sanusi menafikan pembabitan kerajaan negeri serta syarikat yang diberikan lesen eksplorasi mengkaji REE terlibat dalam kegiatan mencuri mineral berkenaan di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Menurut beliau, sehingga kini, kerja-kerja eksplorasi mineral itu masih belum dilaksanakan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli belum dikeluarkan.