Rosmah didakwa esok

Kenderaan yang membawa Rosmah selepas isteri bekas perdana menteri itu selesai beri keterangan di SPRM Putrajaya, hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi pertuduhan projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, agensi itu mendapat izin Pejabat Peguam Negara bagi mendakwa wanita itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Rosmah ditahan kira-kira jam 1.45 petang selepas hadir ke SPRM bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung dakwaan itu sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Beliau yang menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam diiringi sebuah kenderaan lain itu dilihat meninggalkan kawasan SPRM kira-kira jam 3.10 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah hadir beri keterangan di SPRM

Pada 15 November lalu, Rosmah bersama pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.

Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.