Kasari dua kanak-kanak: Pengasuh didakwa esok

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengasuh yang dipercayai mengasari dua kanak-kanak di bawah jagaannya di sebuah taska di Mutiara Rini, dekat sini, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 21 tahun itu akan didakwa atas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Hasil siasatan mendapati, video rakaman dibuat oleh salah seorang guru taska yang merakam kejadian melalui telefon bimbit miliknya, menunjukkan wanita terbabit disyaki telah mengasari dua kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya.

"Justeru suspek akan dituduh esok,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksima RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Isnin lepas, tular dua video di aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang perempuan mengasari badan seorang bayi yang sedang menangis.

Susulan itu, seorang wanita tempatan direman untuk membantu siasatan kes mengasari bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. - Bernama