Isu PPD: Cikgu Mohd Fadli dakwa bakal dibuang kerja

Surat tindakan tatatertib yang dikongsikan melalui Facebook milik Mohd Fadli pada Sabtu.
Surat tindakan tatatertib yang dikongsikan melalui Facebook milik Mohd Fadli pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh mendakwa bakal dikenakan tindakan buang kerja kerana menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli mendakwa, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.

“Jadi soalnya kenapa Kementerian Pendidikan (KPM) nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran.

"Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Sabtu.

Ulasnya lagi, ada pihak yang mempertikai dan mempersoalkan tindakannya tidak menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan isu-isu tersebut, sebaliknya hanya menggunakan platform sosial media seperti Facebook sahaja.

“Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Sebab saya dah luahkan dalam saluran paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai Bahagian Pendidikan Khas (BPK) dari Putrajaya.

“Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan,” ujarnya.

Mohd Fadli turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan beliau dikenakan tindakan tatatertib sama ada dibuang kerja atau turun pangkat kerana dikenakan tiga pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan itu kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun satu dan didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

Mengikut surat itu, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan telah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.