Kerajaan, PM, SPR mohon batal saman pemula Charles Santiago

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen ke-14.

Ketiga-tiga defendan memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini atas alasan saman tersebut mengaibkan, remeh serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Kesemua defendan berkata, saman itu tidak mendedahkan sebarang klausa tindakan yang munasabah terhadap mereka kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam membuat pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14 di bawah Perkara 55 (2) dan Perkara 40(2) (b) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diadili dan dipertikaikan di mahkamah.

Kata defendan, kuasa untuk membubarkan sesuatu Parlimen adalah suatu kuasa prerogatif YDPA di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) yang mana YDPA boleh mengikut budi bicaranya membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapatkan nasihat Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Isu permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan pertama (Ismail Sabri) kepada YDPA pada 9 Oktober 2022 adalah bersifat akademik kerana YDPA telah memperkenankan permintaan itu di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55 (2) dan seterusnya membubarkan Parlimen ke-14,” kata defendan.

Menurut permohonan itu, SPR mempunyai tugas keperlembagaan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan suatu Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa 60 hari selepas pembubaran Parlimen dan kuasa SPR untuk mengadakan PRU tidak boleh diadili.

"Plaintif tidak dapat mengekalkan sebarang bentuk relif yang mempunyai kesan sama dengan mencabar kuasa YDPA untuk pembubaran Parlimen ke-14 dan seterusnya menghalang Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) diadakan,” menurut defendan.

Menurut defendan, sebarang cabaran terhadap sesuatu perjalanan pilihan raya tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 20 Oktober ini.

Charles selaku plaintif memfailkan saman pada 11 Oktober lalu, antaranya memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail kepada YDPA pada 9 Oktober lepas untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am, jemaah menteri dan oleh itu ia terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mahkamah supaya PRU15 dihentikan atas alasan musim banjir. - Bernama