Rumah kampung jadi makmal proses dadah dibongkar

Soffian (kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri pada Selasa lalu.
Soffian (kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri pada Selasa lalu.
A
A
A

BALIK PULAU - Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah yang didalangi pasangan suami isteri di sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Timur Laut pada jam 10.30 malam dan merampas dadah jenis heroin seberat 4.53 kilogram (kg), pil yaba seberat 309.54 gram dan serbuk kafein 14.88kg bernilai RM81,330.

Menurutnya, turut dirampas bahan kimia dan pelbagai peralatan memproses dadah termasuk dua buah ketuhar untuk memasak heroin.

"Pembongkaran makmal dadah itu berjaya dilakukan susulan tangkapan terhadap pasangan terbabit yang berusia 43 tahun dan isterinya yang merupakan warga Thailand berusia 30 tahun di tepi jalan di kawasan Bukit Gelugor pada hari yang sama jam 8.30 malam.

"Hasil soal siasat yang dilakukan membawa kepada serbuan di sebuah rumah kampung yang dijadikan makmal untuk memproses dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Jumaat.

Soffian berkata, siasatan dilakukan mendapati lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Balik Pulau dan isterinya yang tidak bekerja itu aktif memproses dadah dan menyewa rumah terbabit sejak Januari tahun ini.

Jelasnya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 24,197 penagih dan dijual untuk pasaran tempatan.

"Selain dadah dan peralatan memproses, polis turut menyita sebuah kenderaan yang digunakan pasangan terbabit bernilai RM27,000 dan menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM108,330.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah malah dia juga mempunyai rekod jenayah sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.