Beri jawatan menteri penuh untuk wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KERJAYA sebagai ahli politik yang memegang portfolio dalam pentadbiran negara ataupun negeri bukan lagi fenomena asing di negara ini namun sejauh manakah jawatan itu benar-benar memberi impak seterusnya membuktikan kemampuan golongan feminin ini mentadbir serta mengurus krisis.

Mengambil contoh keadaan normal apabila kita berada di rumah, si ibu mampu mengurus dan menyelia hal-hal rumahtangga serentak dengan cekap sekali.

Baik dari segi pengurusan kewangan, pembelian barang dapur, pelajaran serta kesihatan anak-anak, termasuk tanggungjawab kepada si suami tetap terjaga.

Semua wanita mampu ‘tapau’ kerja ini.

Menyorot beberapa krisis dalam negara berkaitan kenaikan harga barang, isu sumber manusia, penderaan pekerja asing dan kanak-kanak, masalah kesihatan dan beberapa hal lagi acapkali berulang-ulang tanpa dapat diatasi secara tuntas.

Bukan mengatakan menteri lelaki kurang prihatin namun rasanya sudah sampai masa portfolio-portfolio kritikal seperti ini diserahkan kepada wanita untuk menguruskannya.

Biarlah naluri kewanitaan dan kesensitifan wanita itu menyelesaikan segala kerumitan yang mungkin tidak terfikir oleh menteri lelaki.

Contoh paling hampir berlaku dalam negara ialah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah mencadangkan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdapat pelbagai reaksi ketika beliau mula mengemukakan cadangan itu, namun siapa pernah terfikir solusi berkesan seumpama itu terhadap golongan suri rumah yang terpinggir oleh suami sendiri.

Satu lagi contoh paling menarik, Datuk Seri Azalina Othman Said dilihat paling berjaya ‘mendiamkan’ Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer beberapa kali sewaktu menggalas jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bukan Rayer seorang sahaja malah ramai lagi ahli parlimen ‘nakal’ berjaya Azalina uruskan dengan baik menggunakan cara beliau tersendiri.

Mungkin menteri lelaki lebih baik fokus kepada kementerian yang lebih memerlukan komitmen tinggi seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan banyak lagi.

Ini dinamakan keseimbangan dalam kabinet yang akhirnya dapat menterjemahkan kepelbagaian untuk memenuhi keperluan rakyat.

Rakyat mahu kerajaan yang prihatin dan menjaga kebajikan. Bukannya kerajaan tidak stabil, populis, saling bercakaran dan tidak kompetan.

Mungkin juga menteri lelaki kurang nampak penyelesaian terhadap isu-isu sensitif. Bukan salah mereka tapi mungkin disebabkan naluri orang lelaki sebegitu.

Akhirnya menyebabkan pemimpin lelaki lebih cenderung menawarkan sesuatu yang bersifat populis dan kurang sentuhan nurani.

Bukan bermaksud mendeskriminasikan jantina tetapi hakikatnya wanita secara lahiriah mempunyai sifat prihatin yang amat tinggi dan ada pandangan mengatakan wanita merupakan makhluk yang boleh mengatasi krisis dengan baik. Mungkin ada benarnya, tidak cuba tidak tahu.

Mengambil contoh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berjaya menjadikan negaranya antara negara yang paling teliti dalam menyekat penularan wabak Covid-19 sejak mula lagi.

Jacinda tidak teragak-agak untuk meletakkan negara itu di bawah sekatan ketat meskipun nombor kes baru direkodkan hanya dalam skala yang kecil.

Kepekaan beliau terhadap wabak yang melanda negara lain menjadikan beliau lebih berhati-hati dan ternyata tindakannya tepat.

Alang-alang pengumuman tarikh pilihan raya masih berbaki beberapa hari lagi, rasanya presiden-presiden parti boleh melihat kembali calon-calon yang akan ditawarkan kepada rakyat.

Percayalah rakyat sudah muak dengan muka lama tetapi jika muka lama masih mampu mentadbir, kekalkanlah mereka.

Kali ini jangan sekadar meletakkan calon wanita hanya kerana kuota tetapi kerana kewanitaan mereka yang boleh menyelamatkan negara serta membela nasib rakyat.

Kembalikanlah keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya.

Setiap undi anda amatlah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.