Johor beri insentif RM30,000 untuk Shah Firdaus

Muhammad Shah Firdaus - Foto fail Bernama
Muhammad Shah Firdaus - Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih pingat perak dalam acara Keirin Lelaki di Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM), Ghent mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM30,000.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus, atas kejayaan yang membanggakan itu.

"Dalam tahun yang sama, anak kelahiran Muar ini juga telah memenangi pingat perak menerusi acara Keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2023, yang berlangsung di Mesir.

"Sebagai tanda pengiktirafan, kerajaan negeri berbesar hati untuk memberi sumbangan RM30,000 kepada Shah Firdaus kerana terus mengharumkan nama Johor dan Malaysia di persada antarabangsa, " katanya menerusi muat naik di laman Facebook rasminya pada Isnin.

Onn Hafiz turut mendoakan kejayaan Muhammad Shah Firdaus dalam kelayakan Kejohanan Dunia yang dijadualkan pada Ogos 2023.

"Semoga beliau meneruskan kayuhan cemerlang pada siri kejohanan akan datang, seterusnya berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan Muhammad Shah Firdaus memastikan Malaysia memperoleh sekurang-kurangnya satu penyudah podium dalam Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM) di Ghent pada Ahad, dengan memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki.

Pelumba berusia 27 tahun menyudahkan perlumbaan di belakang Juara Eropah 2022, Sebastien Vigier dari Perancis yang mewakili pasukan Creteil-kronos.