e-Kasih perlu dinaiktarafkan
MPN saran sistem bersepadu dibangunkan untuk mudahkan penyaluran bantuan
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar sebuah sistem bersepadu dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pangkalan data e-Kasih yang digunakan kerajaan sejak 2007 itu sudah terlalu lama dan perlu dinaik taraf.
“e-Kasih tidak cukup kemas dan perlu disusun semula,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.
Menurutnya, sistem bersepadu itu akan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi atau kementerian.
“Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Ada juga individu yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.
“Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaraskan dan diagihkan secara telus serta cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” kata Muhyiddin.
Keselamatan sosial
Beliau turut menjelaskan, mekanisme itu akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial dalam mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak menerima bantuan.
“Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara,” katanya.
Sebagai contoh katanya, jika seseorang itu diberhentikan kerja, sistem berkenaan secara automatik dapat mengesan statusnya melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dengan cara ini, status sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan individu itu menerima bantuan jangka pendek selama tidak bekerja dengan maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berkata, sistem bersepadu itu boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.
“Agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta peribumi Sabah dan Sarawak,” tegasnya.
Strategi pemulihan
Kerajaan juga perlu memberi tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kebajikan rakyat secara bersasar, tegas Muhyiddin.
“Ini perlu menjadi agenda utama pihak kerajaan. Kita tidak boleh lagi berfikir dan bertindak mengikut cara lama. Perlu cepat bertindak pada saat tekanan ekonomi yang dialami sekarang bagi memastikan kelangsungan kehidupan dan mata pencarian rakyat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara dengan keterlibatan semua pihak iaitu kerajaan, swasta, pakar industri, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat.
Seminar yang julung kalinya diadakan itu menyaksikan pembentangan selari oleh 12 penyelidik yang menjalankan kajian penyelidikan di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).
Antara ahli panel untuk sesi Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial ialah Prof. Datuk Dr. Medaline Berna, Professor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dr Firdaus Suffian, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akedemik, Universiti Teknologi MARA (Sabah).
Prof. Medaline dalam pembentangannya menyatakan bahawa jurang antara Sarawak dan Sabah jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia adalah sangat luas dan pelbagai aspek perlu dititikberatkan sebelum negara mampu pulih sepenuhnya.
Mereka adalah sebahagian daripada 30 penyelidik daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berjaya menerima geran MPDP untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial dalam membantu langkah-langkah pemulihan negara.
Antara skop kajian merangkumi isu-isu kemiskinan, pemerkasaan golongan rentan, meningkatkan daya tahan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), pemulihan sektor pelancongan dan kelestarian ekonomi hijau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!