'PRU15 lebih mencabar, kelam-kabut'

MELAKA - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dianggap lebih mencabar kerana dijangka berlaku pada bulan November atau Disember depan yang diramalkan bencana banjir di kebanyakan tempat.
Penyandang Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia juga akan menjadi suasana PRU kelam-kabut kerana kesibukan berkempen dalam masa sama perlu membantu mangsa banjir.
Beliau mendakwa sekiranya banjir berlaku sudah pasti akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah kerana mereka boleh berkempen dan membantu pengundi terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.
Menurutnya, keadaan itu sudah pasti memberi kelebihan kepada mereka selain menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk berkempen, namun yakin pengundi bijak untuk menilai kerja keras yang dilakukan di kawasan Parlimen itu sejak 2018.
"Cabaran begitu besar, ruang untuk kita berkempen juga terhad berbanding pemerintah, mereka boleh kawal banyak media.
"Contoh, mereka boleh keluarkan arahan sesiapa tidak dibenarkan masuk PPS, tapi menteri dan ketua menteri boleh, jadi bagaimana kita nak bantu mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Kad Laporan bekas Ahli Parlimen Kota Melaka di Kota Laksmana di sini, pada Khamis.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahan kerusi Parlimen itu, Poay Tiong yang juga Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
Tambah beliau, apa yang dibimbangkan sekiranya banjir berlaku, peratusan membuang undi juga akan terkesan kerana tidak mustahil mereka yang berada di kota tidak akan pulang ke tempat mereka yang dinaiki air.
"Kita baru adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun tahun lalu dan sekarang tidak sampai, setahun sahaja kita terpaksa hadapi PRU.
"Jadi sudah tentu dari segi sumber jentera kita akan berada diposisi kekurangan namun akan terus bekerja kuat untuk membantu dan mengutamakan rakyat," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

